Wednesday, February 25, 2009

RAJA-RAJA MELAYU DI NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA PADA AWAL KURUN KE 19-19 TERPAKSA MEMINTA BANTUAN LUAR UNTUK MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN MASING-MASING

Negeri-negeri Melayu kurun ke-19 merujuk kepada kawasan Semenanjung Malaysia sekarang yang meliputi Singapura dan empayar Johor-Riau. Selain itu, Sarawak dan Sabah juga pada abad ke-19 turut tergolong di dalam negeri-negeri Melayu kerana ia berada di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei yang merupakan raja Melayu yang berkuasa di kedua-dua negeri tersebut. Sebelum abad ke-19, raja-raja Melayu di Malaysia merupakan pemerintah yang berkuasa penuh ke atas negeri masing-masing. Namun begitu pada awal abad ke-19 telah berlaku pelbagai konflik dan peristiwa yang mana mengancam kekuasaan raja-raja Melayu pada masa tersebut. Konflik-konflik ini yang mulanya agak tertutup kerana melibatkan kaum kerabat diraja menjadi semakin besar apabila pembesar-pembesar dan kongsi-kongsi gelap terlibat. Selain itu, dapat dilihat pada masa inilah British sedang mencari tapak sesuai untuk bertapak dan meluaskan pengaruhnya. Di utara Semenanjung Tanah Malaya pula Siam pada masa itu cuba mengukuhkan kekuasaannya ke atas negeri-negeri utara Tanah Melayu seperti Kedah, Terengganu, Perak dan Kelantan supaya tunduk kepada mereka. Di Borneo pula, negeri Sarawak pada masa tersebut berada di bawah Kesultanan Brunei manakala di Borneo Utara pula ia terletak di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Di sini saya akan membahaskan adakah pada awal abad ke-19 raja-raja Melayu terpaksa meminta bantuan luar untuk mempertahankan kedaulatan masing-masing.

KETIDAKWIBAWAAN PEMERINTAH
Ketidakwibawaan seseorang pemerintah disebabkan oleh kelemahan pemerintah yang biasanya lemah dari segi aspek pentabiran dan ekonomi biasanya akan melemahkan kedudukan seseorang raja. Di negeri-negeri Melayu pada awal abad ke-19, ketidakwibawaan pemerintahnya iaitu sultan amat ketara sekali. Di sini dapat dilihat bagaimana tindakan dan reaksi Sultan itu sendiri di dalam menyelesaikan konflik dalaman negeri. Dalam menyelesaikan konflik ini kebiasaannya sultan-sultan ini terpaksa mengunakan bantuan luar bagi mengekalkan kedaulatan mereka. Hal ini dapat kita lihat di Sarawak dimana pada masa tersebut Sarawak berada di bawah kekuasaan Sultan Brunei[1]. Pada masa itu, Sultan Brunei yang memerintah merupakan seorang yang lemah dan langsung tidak beribawa. Malah menurut Graham Irwin ( 1986) , Brooke mendapati bahawa Sultan Brunei sebenarnya bodoh dan istanaya sendiri pun tidak dapat dikawal apa lagi kawasan-kawasan yang jauh dari tempat pemerintahannya seperti Sarawak.[2] Melalui penyataan diatas nyatalah bahawa Sultan Brunei merupakan seorang raja yang tidak beribawa kerana di istana sendiri pun tidak dapat dikawal inikan situasi di Sarawak yang semakin meruncing. Hal ini berlaku kerana cara pemerintahan wakil Sultan Brunei sendiri iaitu Pangeran Mahkota yang memerintah secara kuku besi dan menindas masyarakat peribumi sehinggakan masyarakat peribumi Sarawak yang ketika itu dipimpin oleh Datuk Patinggi Ali bangkit memberontak.
Sultan Brunei terpaksa menghantar Raja Muda Hashim yang berjawatan ketua menteri kepada Sultan[3] untuk mententeramkan keadaan di Sarawak bagi memulihkan kembali keamanan di wilayah tersebut. Namun begitu, Raja Muda Hashim tidak dapat juga menghapuskan pemberontakan tersebut. Kebetulan pada masa itu muncul seorang pelayar Inggeris iaitu James Brooke tiba di Kuching dan kesempatan ini telah digunakan oleh Raja Muda Hashim untuk meminta bantuan daripada James Brooke untuk memulihkan keamanan Sarawak dengan menjanjikan Sarawak kepada Brooke sekiranya beliau dapat memulihkan keamanan semula di Sarawak.[4]Di sini dapat dilihat bagaimana Raja Muda Hashim terpaksa meminta bantuan Brooke di dalam memulihkan keamanan Sarawak walaupun seperti seolah-olah beliau menjemput Brooke untuk membantu beliau tetapi hakikatnya Raja Muda Hashim terpaksa meminta bantuan Brooke kerana keadaan pada masa tersebut sangat meruncing. Kita juga dapat melihat bagaimana kuatnya pengaruh Raja Muda Hashim terhadap Sultan sehinggakan beliau berani memberi tawaran kepada Brooke untuk menyerahkan Sarawak sekiranya Brooke dapat memulihkan keamanan di Sarawak tanpa merujuk kepada Sultan Brunei terlebih dahulu. Kita juga boleh melihat bagaimana ketidakwibawaan Sultan Brunei tersebut dalam menyelesaikan konflik dimana baginda sendiri tidak mengambil inisiantif untuk menangani konflik dan menyerahkannya bulat-bulat kepada para pembesarnya untuk menyelesaikannya menunjukkan kelemahan ketara baginda hingga akhirnya terpaksa meminta bantuan luar bagi menyelesaikannya.

PEREBUTAN KUASA DAN TAKHTA
Sepanjang abad ke-19 di negeri-negeri Melayu terdapat banyak sekali perebutan kuasa serta takhta di kalangan anak-anak raja terutama selepas kemangkatan seseorang Sultan. Peranan pembesar di sebalik perebutan kuasa dan takhta ini juga menjadikan konflik ini semakin besar dan kebiasaannya menjadi perang saudara. Sememangnya jikalau seseorang raja atau Sultan itu ingin berkuasa, baginda perlu mempunyai sokongan yang kuat daripada pembesar terutama pembesar yang pengaruhnya agak kuat. Dalam pada itu, kebiasaannya pembesar-pembesar ini juga turut mengambil kesempatan daripada perebutan kuasa antara anak-anak raja ini untuk kepentingan mereka sendiri. Apabila anak raja yang mereka sokong menjadi Sultan, kebiasaannya pembesar ini akan mendapat anugerah dan pengaruh pembesar ini juga akan bertambah kerana Sultan akan terasa terhutang budi dengan mereka. Namun begitu ada juga kes dimana anak raja yang sepatutnya layak menjadi Sultan dipinggirkan dan memaksa baginda meminta bantuan luar bagi mendapatkan hak baginda sebagai pewaris takhta.
Hal ini dapat kita lihat dari prespektif negeri Johor dimana pada masa tersebut selepas kemangkatan Sultan Mahmud pada 1812.[5]Sultan Mahmud pada masa tersebut telah meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Long ( Tengku Hussien) dan Tengku Abdul Rahman. Pada masa tersebut Yang Dipertuan Muda Johor-Riau adalah Raja Jaafar yang berketurunan Bugis serta berpengaruh di dalam menentukan bakal Sultan. Semasa kemangkatan ayahandanya Tengku Long sedang melangsungkan perkahwinan dengan anak bendahara Pahang maka para pembesar Johor menerusi pengaruh Bugis telah mengisyitiharkan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor-Riau yang baru. Hal inilah menyebabkan Tengku Long tidak puas hati dan cuba menuntut takhtanya balik tetapi tidak dilayan oleh Raja Jaafar. Walaupun Tengku Long mempunyai sokongan daripada Bendahara Pahang dan Temenggung Abdul Rahman tetapi baginda masih tidak mempunyai kekuatan yang cukup memandangkan pada ketika itu pengaruh Bugis sangat kukuh di Johor-Riau. Hal ini memaksa Tengku Long meminta bantuan daripada British untuk mengembalikan kuasanya dan kebetulan pada masa tersebut Stamford Raffles sedang mencari tapak untuk membina loji.[6] British telah bersetuju menaikkan Tengku Long menjadi Sultan Johor yang baru dan disini dapat dlihat bagaimana Tengku Long terpaksa meminta bantuan luar kerana ingin mendapatkan kuasanya. Malah beliau memang terpaksa kerana tuntutannya tidak dihiraukan Bugis yang pada masa tersebut amat berpengaruh dan kerana Bugis lebih menyukai Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor-Riau kerana baginda seorang yang mudah dipergunakan oleh Bugis untuk kepentingan mereka.
Terdapat juga Sultan yang tidak perlu meminta bantuan luar di dalam perebutan kuasa dan takhta mereka kerana mereka mempunyai pilihan untuk tidak berbuat demikian tetapi kerana inginkan kekuasaan mereka sanggup meminta bantuan luar bagi mengukuhkan kedudukan. Situasi seperti ini dapat kita lihat dari prespektif negeri Kedah. Pergolakan dalaman keluarga diraja Kedah bermula selepas kemangkatan Sultan Abdullah Mukkaram Shah pada 1798.[7] Selepas kemangkatan baginda, pemerintahan kerajaan Kedah dipangku oleh adinda baginda iaitu Tunku Dhiauddin pada 1798 yang mengunakan gelaran Sultan Dhiauddin Mukkaram Shah[8]. Perlantikan Sultan Dhiauddin ini mendapat sokongan daripada pembesar-pembesar Kedah pada masa tersebut tetapi menurut Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyatakan bahawa Tunku Dhiauddin hanyalah pemangku sultan sehingga Tunku Pangeran sudah cukup dewasa untuk menjadi sultan.[9] Hal inilah yang akan mewujudkan krisis nanti apabila Tunku Pangeran inginkan kuasa baginda tetapi tidak mendapat sokongan daripada pembesar Kedah yang kebanyakkannya menyokong Tunku Dhiauddin menjadi Sultan Kedah pada masa tersebut. Pada 1801-1802 Tunku Pangeran iaitu putera almarhum Sultan Abdullah bersama rombongan dari negeri Kedah telah pergi ke Singgora (Songkhla). Disana Tunku Pangeran telah berjaya memujuk Gabenor Siam untuk membawanya pergi menghadap Raja Siam.[10] Tunku Pangeran telah meminta bantuan Siam supaya melantiknya kembali menjadi Sultan Kedah. Pada bulan September tahun 1803, Siam telah menghantar satu angkatan tentera Siam seramai 5000 orang menghantar Tunku Pangeran balik ke negeri Kedah dan mahu orang besar Kedah menabalkan Tunku Pangeran sebagai Sultan Kedah dan memerintahkan Tunku Dhiauddin supaya turun daripada takhta kerajaan Kedah.[11]Di sini dapat dilihat bahawa sebenarnya Tunku Pangeran mempunyai pilihan selain meminta bantuan Siam untuk menaikkan baginda menjadi Sultan Kedah iaitu baginda boleh berkompromi dengan ayahanda saudaranya itu dengan menyatakan baginda sudah dewasa dan sudah masanya baginda menaiki takhta ataupun meminta pertolongan pembesar-pembesar Kedah sendiri untuk menyokongnya sebagai Sultan Kedah kerana beliau paling layak atas sebab baginda sudah dewasa dan putera sulung Sultan Abdullah. Di dalam hal ini baginda telah terburu-buru meminta bantuan Siam dan akhirnya nanti ia meluaskan lagi pengaruh Siam terhadap Kedah.

ANCAMAN KUASA LUAR
Selain itu, ancaman kuasa luar yang kuat telah memaksa raja-raja Melayu meminta bantuan daripada kuasa luar yang lain bagi mengekalkan kedaulatan baginda semasa awal abad ke-19. Tekanan yang kuat daripada kuasa luar yang sememangnya kuat pengaruhnya menyebabkan negeri-negeri Melayu terpaksa meminta bantuan luar bagi mengatasi tekanan atau serangan daripada kuasa luar yang boleh mengancam negeri tersebut. Hal ini boleh dilihat mengikut prespektif negeri Perak dan Selangor dimana pada awal abad ke-19 Perak diserang oleh Selangor yang pada masa tersebut diperintah oleh Sultan Ibrahim. Dalam kempen Sultan Ibrahim menentang Perak pada tahun 1804, baginda telah meminta bantuan daripada sepupunya Raja Jaafar, Raja Idris dan Raja Ahmad dari kerabat diraja Bugis-Riau.[12]Pada masa ini juga di sebelah utara Perak diserang pula oleh Kedah atas arahan Siam.[13] Hal ini menyebabkan Perak tersepit di tengah dan Siam pula selepas menewaskan Perak di utara mahu menawan Selangor pula. Tambahan pula pada masa tersebut juga Selangor turut membantu Perak menghalau pegawai-pegawai Siam di Perak.[14] Hal ini menyebabkan Raja Ligor mengumpulkan angkatan tentera untuk menyerang Selangor dan Perak tetapi mujurlah pada masa tersebut pihak British cepat menghantar utusannya iaitu Major Burney ke Bangkok dan pada Jun 1826, perjanjian Burney[15] dimenterai yang akan memastikan kedaulatan Perak dan Selangor daripada serangan Siam. Dalam mengukuhkan peerjanjian Burney tersebut, satu perjanjian ditandatangani iaitu perjanjian Low[16] yang menjamin Perak bebas daripada kuasa Siam. Di sini, di dalam mempertahankan negerinya dan kerajaannya Sultan Perak terpaksa meminta bantuan British dan Selangor bagi mengusir ancaman Siam tersebut. Baginda tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan luar untuk mengekalkan kedaulatannya. Bagi negeri Selangor pula terselamat kerana perjanjian Burney telah menyebabkan mereka tidak diserang Siam dan Sultannya masih berkuasa penuh walaupun tidak meminta bantuan luar seperti Perak.
Namun begitu situasi di Kelantan pula agak berlainan. Pada 1776 Long Yunus berjaya mengasaskan Kesultanan Kelantan setelah berjaya mengalahkan Long Pandak dengan bantuan Sultan Mansur[17]. Selepas kemangkatan Long Yunus, pengaruh Siam ke atas Kelantan mulai menjadi penting. Hal ini disebabkan oleh perlantikan Tengku Muhamaad menjadi Sultan Kelantan selepas kemangkatan Long Yunus sebenarnya tidak mendapat persetujuan putera-putera Long Yunus dan pembesar-pembesar Kelantan kerana menganggap perlantikan Tengku Muhamaad yang merupakan putera Sultan Mansur Shah seolah-olah menafikan peluang anak Long Yunus menaiki takhta sedangkan Tengku Muhamaad merupakan orang luar. Malah seorang putera Long Yunus iaitu Long Jenal menganggap perlantikan Tengku Muhamaad ini hanya bersifat sementara.[18]Bagi mengukuhkan kedudukan baginda Tengku Muhamaad membawa masuk pengikutnya daripada Terengganu yang terdiri daripada rakyat dan pembesar Terengganu. Hal inilah menambahkan lagi api kebencian putera-putera Long Yunus dan pembesar Kelantan terhadap baginda dan sekitar 1800 perang telah berlaku dan di akhirnya ia dimenangi oleh Long Muhamaad yang kemudian ditabalkan menjadi Sultan Kelantan seterusnya.
Sekitar tahun 1818 M, negeri Kelantan dalam keadaan yang aman dan damai. Namun Kelantan mula menghadapi musuh-musuh dari negeri-negeri jiran. Oleh itu, Kelantan merasa bimbang terhadap serangan dari luar terutamanya dari Terengganu yang bersekongkol dengan Pattani. Maka pada tahun 1832 M, Sultan Kelantan telah menghantar utusan ke Ligor dan dari Ligor ke Bangkok untuk menghadapi Seri Maharaja Siam.[19] Utusan itu telah disambut dan diterima baik oleh Raja Siam. Kepulangan utusan itu membawa pulang sepucuk surat yang mencadangkan atau menganjurkan satu persetiaan atau perjanjian antara negeri Kelantan dan kerajaan Siam. Oleh itu, Kelantan bersetuju menghantar ufti berupa bunga emas setiap tiga tahun sekali kepada Siam sebagai balasan di atas kesanggupan Siam mengawasi musuh-musuh Kelantan dari luar. Di sini dapat dilihat bagaimana tekanan yang kuat dan ancaman kuasa luar terhadap Kelantan menyebabkan Kelantan terpaksa meminta bantuan luar yang sentiasa menanti peluang untuk meluaskan pengaruhnya terhadap Kelantan iaitu Siam.




MASALAH LANUN
Masalah lanun yang berkuasa dan mengancam perdagangan juga menyebabkan ada dikalangan raja-raja Melayu terpaksa menerima tekanan luar bagi menghentikan masalah lanun. Hal ini boleh dilihat di Borneo pada masa tersebut iaitu di perairan Sarawak dan Sabah atau Borneo Utara pada masa tersebut. Lanun-lanun di sekitar kawasan ini amatlah kuat dan lanun juga merupakan sumber pendapatan bagi sesetengah pembesar dan ahli kerabat diraja Brunei yang menaunginya seperti Pangeran Usop.[20] Hal ini menganggu ekonomi perdagangan terutamanya British. Hal ini menyebabkan British menekan Brunei supaya menghentikan lanun-lanun yang menganggu kawasan perairan Sarawak dan Borneo Utara. Hal ini menjadi bertambah rumit apabila Sultan Brunei telah mengarahkan Raja Muda Hashim dan keluarga dibunuh.[21] Pembunuha Raja Muda Hashim ini member peluang kepada James Brooke dan British pada masa tersebut untuk menekan Sultan Brunei. Di akhirnya, Sultan Brunei terpaksa tunduk kepada tekanan dan terpaksa meminta bantuan British untuk menghapuskan lanun di kawasan perairannya demi mengekalkan kedaulatannya. Di sini jelas dilihat bagaimana kegiatan lanun yang dijadikan sebagai sumber ekonomi kepada kerabat diraja Brunei dan pembesarnya menjadi punca kepada akhirnya Sultan terpaksa tunduk dengan desakan daripada British untuk bertindak ke atas lanun-lanun tersebut di samping kekejaman Sultan kepada Raja Muda Hashim yang tidak dapat diterima James Brooke pada masa tersebut. Oleh kerana ingin berkuasa Sultan Brunei terpaksa meminta bantuan British bagi mengekalkan kuasanya. Dalam pada itu, secara tidak langsung ia menghapuskan lanun yang berlualuasa di sekitar perairan Brunei serta akhirnya dapat melaksanakan impian James Brooke untuk meluaskan lagi pengaruhnya.

PEREBUTAN KAWASAN LOMBONG
Di samping beberapa sebab diatas, ekonomi juga menyebabkan raja-raja Melayu terpaksa meminta bantuan luar bagi mengekalkan kedaulatan mereka. Di dalam sistem feudal di negeri-negeri Melayu, kebiasaannya Sultan memonopoli ekonomi dan menguasainya. Menjelang abad ke-19, negeri-negeri Melayu sangat terkenal dengan perlombongan bijih timah terutama di Perak, Sungai Ujung dan Selangor serta perlombongan antonomi di Sarawak. Bagaimanapun berbeza dengan negeri-negeri lain, di Sungai Ujong kawasan yang menjadi rebutan ialah kawasan Sungai Linggi kerana ia merupakan jalan utama untuk membawa bijih timah keluar dari kawasan lombong di pedalaman.[22]
Di sini saya ingin mengambil perebutan kawasan lombong ini dari prespektif Negeri Sembilan. Kawasan Sungai Ujong, Rembau dan Seri Menanti merupakan kawasan pengeluar bijih timah yang penting pada abad ke-19.[23]Bijih timah di Sungai Ujong yang diperolehi di Sala, Kayu Ara dan Timiong. Pada awal abad ke-19 orang Cina semakin banyak memasuki Sungai Ujong untuk melombong dan membuka kawasan perlombongan. Malah menurut Khoo Kay Kim pada 1828 terdapat kira-kira 1000 orang pelombong Cina di Sungai Ujong.[24]Namun begitu kawasan yang menjadi rebutan ialah di Sungai Linggi kerana ia merupakan laluan utama di dalam membawa bijih timah keluar dari pedalaman Sungai Ujong. Kawasan ini dikuasai oleh Datuk Linggi iaitu Encik Aman sementara Datuk Kelana Kawal memberi kebenaran supaya kerja melombong dijalankan disitu. Selepas kematian Datuk Kelana telah membawa kepada ramainya orang yang muncul mengutip cukai di kawasan lombong dan kawasan Sungai Linggi. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada pedagang-pedagang dan penghusaha lombong di sekitar kawsan Sungai Ujung. Saudagar-saudagar British ini mendesak Datuk Kelana yang baru untuk bertindak. Beliau meminta bantuan Penghulu Rembau tetapi tidak berjaya dan diakhirnya beliau terpaksa meminta bantuan British untuk menyelesaikannya.
Di dalam kes sebegini Datuk Kelana terpaksa meminta bantuan dari British demi mempertahankan keamanan di Sungai Ujung tambahan pula pada masa tersebut beliau mendapat tentangan daripada Datuk Bandar. Oleh itu di dalam mengekalkan kekuasaannya terutama di Sungai Linggi yang menjadi pusat ekonomi di Sungai Ujung beliau terpaksa meminta bantuan British. Hal ini agak berlainan di Selangor di mana perebutan kawasan lombong bijih timah antara anak-anak raja iaitu antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi[25] sebenarnya di dalam situasi tersebut Sultan Abdul Samad mempunyai pilihan lain iaitu mendamaikan kedua-dua anak raja tersebut. Malangnya di dalam isu perebutan lombong ini, Sultan Abdul Samad berkecuali dan langsung tidak mengambil inisiantif untuk menyelesaikannya hingga di akhirnya baginda sudah terlambat hingga terpaksa meminta bantuan luar iaitu dari Pahang dan akhirnya nanti bantuan daripada British untuk mengamankan Selangor. Tambahan pula Sultan Abdul Samad terpaksa bergantung dengan pembesar-pembesarnya untuk mengukuhkan kedudukan baginda.

KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, raja-raja Melayu terpaksa meminta bantuan luar bagi mempertahankan kedaulatan baginda tetapi adakala baginda mempunyai pilihan lain. Di sini sebenarnya keterpaksaan raja-raja Melayu ini meminta bantuan luar disebabkan oleh konflik dalaman negeri itu sendiri yang sepatutnya dapat diselesaikan sendiri tetapi kebanyakan raja-raja ini mengambil jalan mudah iaitu mendapatkan bantuan luar. Ada juga kes raja-raja Melayu yang terpaksa kerana tidak mempunyai pilihan lain selain tinggal hanya meminta bantuan lain kerana atas ancaman luar negeri yang kuat atau kerana sudah tidak mempunyai sokongan pembesar lagi. Ada juga kes di mana ada dikalangan raja-raja Melayu yang tidak terpaksa tetapi baginda sendiri yang mahukan bantuan luar bagi mengukuhkan kedudukan baginda dan seolah-olah baginda menjemput kuasa luar datang membantu baginda. Di sini dapat saya rumuskan bahawa kebanyakkan Sultan terpaksa meminta bantuan luar bagi mengekalkan kedaulatan walaupun terdapat seolah-olah baginda terpaksa tetapi sebenarnya memang terpaksa atau dengan kata lain paksa rela. Bantuan awal daripada luar inilah nanti menjadi titik tolak kepada kependudukan British di Malaysia pada tahun-tahun berikutnya.


[1] Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Macmillan Publishers ( M) Sdn. Bhd., 1983, hlm. 144.

[2].Graham Irwin, Borneo Abad Kesembilan Belas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 98.

[3] Ibid, Hlm. 94.

[4] Ibid, Hlm. 96.
[5] Zainal Abidin Abdul Wahid, Malaysia: Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hlm.110.
[6] L.A. Mills, British Malaya 1824-1867, JMBRASS: Vol 33, Part 3, No 191, 1960, hlm.70

[7] R.Bonney, Kedah 1771-1821: The Search For Security And Independence, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1974, hlm.103.

[8] Ibid, hlm. 105

[9] Mohamad Isa Othman, Al-tarikh Salasilah Negeri Kedah: Sebuah Pensejarahan dalam Isu-isu Pensejarahan:Esei Penghargaan untuk Dr. R. Sutharalingam, Pulau Pinang: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian USM, 1995, hlm.38

[10] Haji Buyong Adil, Sejarah Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, hlm. 52

[11] Ibid, hlm. 53.

[12] Khoo Kay Kim, Negeri-negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1986, hlm.38

[13] R.Bonney, Kedah 1771-1821: The Search For Security And Independence, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1974, hlm.128

[14] C. D. Cowan, Tanah Melayu Kurun Ke sembilan Belas: Asal-usul Penguasan Politik British, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970, hlm. 15

[15] L.A. Mills, British Malaya 1824-1867, JMBRASS: Vol 33, Part 3, No 191, 1960, hlm.169.

[16] Ibid, hlm. 185.

[17] Rahmat Bin Saripan, Perkembangan Politik Melayu Tradisional Kelantan 1776 – 1842, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, hlm. 43.

[18] Ibid, hlm. 10

[19] Sa’ad Shukri Bin Haji Muda, Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh dan Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi (Universiti Gajah Mada, Indonesia) , Detik-detik Sejarah Kelantan, PAP, Kelantan, hlm. 71 -72.

[20] L.A. Mills, British Malaya 1824-1867, JMBRASS: Vol 33, Part 3, No 191, 1960, hlm 288

[21] Graham Irwin, Borneo Abad Kesembilan Belas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 143.

[22] Khoo Kay Kim, Negeri-negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1986, hlm.50

[23] Khoo Kay Kim, Negeri-negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1986, hlm.49.

[24] Ibid, hlm. 50.
[25] Khoo Kay Kim, Negeri-negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1986, hlm.175-177

Pada ahad yang lepas merupakan detik terindah di dalam hidup saya apabila secara rasminya saya telah dilantik menjadi Rakan Exco MPP UPSI..Di sini saya sempat rakamkan gambar bersama-sama Exco dan rakan-rakan lain.



















Monday, February 23, 2009

Politik Tom And Jerry

Ramai kanak-kanak yang suka tengok siri kartun "Tom and Jerry". Tom ialah kucing. Jerry ialah tikus. Kedua-duanya bergaduh tak henti-henti. Plot siri kartun ini berkisar di sekitar Tom yang cuba menangkap Jerry. Itulah plotnya. Tak ada yang lain.Dalam proses Tom nak menangkap dan Jerry nak menyelamatkan diri, mereka berlari dan melompat di sana-sini. Habis rosak harta-benda dalam benda dalam rumah disebabkan oleh kerenah dua ekor binatang ini.Bagaimanapun, sejak siri kartun itu diperkenalkan hinggalah sekarang, Tom tak pernah berjaya menangkap Jerry; menunjukkan kepandaian Jerry yang sering bernasib baik. Siri kartun ini menunjukkan "love-hate relationship" yang wujud antara kedua-duanya; bukannya pergaduhan kekal dan melampau. Tom selalu senyum kepada Jerry, begitu jugalah sebaliknya.Malah, ada dalam siri tertentu, Tom menunjukkan kasih-sayangnya kepada Jerry. Sebagai contoh, apabila Jerry berpura-pura jatuh seolah-oleh kena tembak oleh Tom, maka Tom pun berlarilah membawa "first aid kits" kepada Jerry. Sesekali Jerry menjadi "jealous" apabila Tom berkawan dengan kucing betina lainnya.Itulah agaknya yang menjadikan siri "Tom and Jerry" ni menarik. Ada elemen permusuhan. Ada elemen keganasan. Ada elemen kasih-sayang. Ada elemen jealousy. Sesekali kena. Sesekali dipekena.Saya nampak politik Malaysia pun macam siri kartun "Tom and Jerry". Nampak macam bergaduh sakan. Pukul sana, pukul sini. Tetapi apabila berjumpa di Parlimen, bersembang macam adik-beradik. Boleh pula berkongsi rokok. Dah tu, sempat lagi hulur kertas cadangan projek!Nampak macam marah, tetapi sebenarnya jealous. Nampak dia pekena orang, tetapi sebenarnya dia yang kena. Kadang-kadang kita dah tak tahu siapa mangsa dan siapa pemangsa.Politik "Tom and Jerry" juga politik tuduh-menuduh. Politik jenis ni cukup mudah. Budak sekolah menengah pun tahu. Apabila berlaku sesuatu yang negatif, tuduh lawan dulu. Tuduh dulu. Betul atau salah, itu perkara kedua. Betul tak penting. Yang penting, tuduh.Mengapa tuduh? Nak jadikan lawan berada dalam keadaan defensif. Apabila kena tuduh, maka lawan kena jawab. Apabila lawan kena jawab, dia tak banyak masa nak serang balik. Apabila tak sempat serang balik, tak banyaklah keburukan kita terbongkar.Politik "Tom and Jerry" ada di antara parti-parti politik dan sesama individu dalam parti politik. Ada di kalangan Barisan Nasional. Ada dalam Pakatan Rakyat.Selepas setahun PRU12 berlalu, saya tak nampak ada parti politik yang putih melepak. Memang ada parti politik yang rasa dia putih melepak, tapi saya (dan ramai lagi) yang tak nampak dia putih melepak.Bilakah politik "Tom and Jerry" akan tamat dalam politik Malaysia? Susah nak jawab tu. Siri kartun ini bermula pada tahun 1940; sampai sekarang masih popular."Tom and Jerry" popular kerana kanak-kanak suka menonton dua ekor binatang bergaduh!