Tajuk perbincangan berkaitan ketegangan hubungan diplomatik Indonesia-Malaysia. Hubungan Malaysia-Indonesia tidak konsisten; turun naik dan hangat dingin sejak 1960-an bagai kata-kata dalam lagu ‘Benci Tapi Rindu’ Hetty Koes Endang, penyanyi terkenal Indonesia.
Konflik terbahar ekoran tindakan ahli Barisan Demokratik Rakyat Indonesia (Bendera) melemparkan najis ke dalam kawasan pejabat kedutaan Malaysia di Jakarta.
Jakarta daripada perkataan Jawa klasik bermaksud kejayaan tuntas merupakan kota 12 juta jiwa yang tidak pernah tidur. Di kota inilah pada 17 Ogos 1945 kemerdekaan Indonesia diisytiharkan. Di kota inilah juga tercetusnya rusuhan kaum yang dahsyat dari 13-15 Mei 1998 sebelum presiden 32 tahun berkuasa Suharto terpaksa berundur. Dalam peristiwa itu, peribumi Indonesia menyerang kaum Cina sehingga banyak kedai milik orang Cina dibakar dan dimusnahkan oleh perusuh, dan banyak perempuan Cina diperkosa. Orang Cina, sekitar 6 peratus penduduk Indonesia kaya raya dan menguasai 70 peratus ekonomi Indonesia. Ketakutan, maka mereka lari ke luar negara termasuk Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat waktu kegawatan sosiopolitik itu.
Demonstrasi atau unjuk rasa dalam istilah Indonesia, sesuatu yang lumrah di negara 240 juta jiwa itu. Sebagai orang yang sering berkunjung ke Indonesia, khususnya Jakarta sejak 20 tahun lalu, saya kerap menyaksikan demonstrasi di bulatan di hadapan Hotel Indonesia di tengah-tengah jantung kota yang sentiasa menggelegak itu.
Ganyang Malaysia
Sebenarnya, perasaan benci segelintir rakyat Indonesia terhadap Malaysia berlaku sejak konfrontasi dilancarkan Sukarno pada 1963. Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia membabitkan wilayah Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura yang disifatkan Sukarno satu bentuk neokolonialisme dan percubaan menghimpit dan memulaukan negara itu. Konfrontasi dengan slogan ganyang Malaysia selama 33 bulan berlaku sehingga 1966.
Konfrontasi secara rasmi dianggap tamat sesudah termetrainya Perjanjian Pemulihan Hubungan antara kedua-dua negara itu pada tahun 1966. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik menyifatkan perjanjian itu sebagai kejayaan besar untuk bangsa Melayu, manakala Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia menyifatkannya sebagai satu era baharu dalam hubungan diplomatik dua negara serumpun. Namun, sesudah itu satu per satu konflik tercetus, dan memuncak pada 2002 membabitkan pulau Sipadan dan Ligitan yang berakhir dengan kekalahan Indonesia di Mahkamah Antarabangsa di Belanda. Sepanjang dekad ini satu per satu demonstrasi dilancarkan pihak tertentu di Jakarta termasuk oleh Bendera, Laskar Merah Putih, Forum Kebangsaan Indonesia dan Forum Betawai Rempug.
Berbanding rakyat Malaysia, mengapakah setiap kali tercetus konflik, segelintir rakyatnya unjuk rasa? Adakah ini mencerminkan watak rakyat Indonesia yang emosional, tidak matang, mudah melatah dan mahu mengambil undang-undang di tangan sendiri? Atau mereka mempunyai muslihat atau agenda untuk merosakkan hubungan dua negara serumpun itu? Atau mungkinkan kerana dendam terhadap Malaysia, kalau tidak pun kerana iri hati terhadap kejayaannya? Dalam keluaran terbaharu, 9 Ogos lalu, majalah antarabangsa Newsweek meletakkan Malaysia pada kedudukan 37 berbanding Indonesia nombor 73 dalam penarafan “The Best Country in The World”. Teratas ialah Finland, kedua, Switzerland dan ketiga, Sweden. Sebagai negara 240 jiwa dengan 17 ribu pulau, Indonesia tentu tidak mahu dikalahkan? Ia tentu mahu sentiasa menang. Apabila negara itu kalah, umpamanya dalam tuntutan terhadap pulau Sipadan dan Ligitan, ia merupakan satu pukulan hebat terhadap maruah dan egonya. Ia bagai singa luka yang mahu membalas dendam. Ia tidak mahu diperlekeh, dihina dan dipandang rendah.
Jurang komunikasi
Sebahagian daripada konflik dan ketegangan berpunca daripada jurang komunikasi yang lebar antara kedua-dua negara. Akibatnya timbul salah faham dan salah tanggapan rakyatnya. Keadaan ini diburukkan lagi oleh peranan media Indonesia yang mengikut pengamatan saya cenderung mengapi-apikan sentimen rakyatnya. Sesuatu isu membabitkan penderaan pembantu rumah, tenaga kerja Indonesia (TKI) tidak dibayar gaji, dan terbaharu tiga pegawai maritim dan perikanannya ditahan di negara ini diperbesar-besarkan. Isu terbabit dilaporkan dan dibincangkan secara meluas, tidak objektif dan emosional sekali oleh sebahgian media, termasuk rancangan bicarawara TV.
Kita perlu ingat, 15 stesen TV berpangkalan di Jakarta termasuk TransTV, Indosiar, RCTI, TV ONE dan TVRI. Dan di Jakarta sahaja terdapat sekitar 20 akhbar seperti Kompas, Republika, Pos Kota, Media Indonesia, Suara Pembaruan, Seputar Indonesia dan Jakarta Post. Itu belum lagi termasuk sekurang-kurangnya terdapat empat akhbar di setiap 27 provinsi atau wilayahnya. Media berkenaan sejak jatuhnya Suharto sesudah reformasi dan demonstrasi mahasiswa universiti di Jakarta pada 1998 kelihatan begitu bebas untuk menyiarkan apa-apa sahaja yang mereka mahu, termasuk mengritik presidennya Susilo Bambang Yudhoyono. Mereka juga tidak teragak-agak mengkritik Malaysia. Bagi mereka, Malaysia perlu diajar dan dibelasah kerana tidak peka terhadap perasaan mereka.
Media Indonesia tidak profesional
Akibat laporan tidak beretika, berat sebelah dan tidak profesional, atas alasan tertentu, termasuk untuk mengejar rating demi pendapatan periklanan, media terbabit sanggup mengguriskan perasaan rakyat negara ini. Maka terbenamlah persepsi dan imej yang negatif dalam kalangan rakyatnya tentang rakyat Malaysia. Antara persepsi dan imej yang digambarkan melalui media Indonesia ialah rakyat kita angkuh, perompak dan penciplak, tidak sedar diri, tidak bersikap sebagai tetangga yang baik, mahu menyakiti tetapi tidak mahu disakiti dan sebagainya. Sebagai pengampang media, editor perlu lebih bertanggungjawab dan bukannya mabuk dalam euforia atas nama kebebasan. Mereka perlu membantu meredakan keadaan dan bukannya mengapi-apikan sentimen rakyatnya. Atau kita memerlukan attase penerangan yang mahir dan berpengalaman di kedutaan kita di Jakarta untuk merapatkan jurang komunikasi dan menangani krisis komunikasi.
Daripada pengamatan beberapa hari di Jakarta baru-baru ini, dalam kes terbaharu, mereka mahu mendesak agar SBY meminta Malaysia memohon maaf. Rakyat dan pemimpin politiknya mahu Presiden Indonesia yang telah berada di kerusi tertinggi Indonesia sejak 2004 itu bersikap tegas, berani dan bijak menangani isu hubungan diplomatik, dan tidak mahu beliau mengalah. Terdapat tuntutan agar dutanya di Malaysia dipanggil balik, serta agar pemerintah Indonesia menurunkan status hubungan diplomatik dengan Malaysia. Malah, terdapat anjuran agar Malaysia dikenakan semacam kejutan terapi. Adakah kejutan terapi itu termasuk melemparkan kotoran manusia – sesuatu yang boleh dianggap keterlaluan, biadab dan merendahkan maruah Indonesia sendiri?
Mungkinkah anda masih ingat bagaimana ahli kumpulan tertentu termasuk Bendera dan Laskar Merah Putih mengikat kepala dengan kain merah putih dan mengadakan sekatan bersenjatakan buluh runcing di Jalan Menteng dan Diponegoro di jantung kota berkenaan untuk ‘membersihkan’ rakyat Malaysia? Buluh runcing merupakan lambang sewaktu Indonesia menuntut kemerdekaan daripada penjajah Belanda. Masihkah anda ingat bagaimana 300 orang pemuda Indonesia dikatakan dilatih menjalani ilmu kebal dan bersedia menyerang dan mengganyang Malaysia? Dan tahun lepas Bendera mengancam hendak menyerang Malaysia, tetapi terbukti kemudiannya ketuanya hanya bercakap besar?
Kembali kepada kewarasan
Oh, Tuhanku, kembalikan mereka ini kepada kewarasan dan akal sihat, dan bukannya dikuasai emosi keterlaluan agar mereka insaf akan kesan perbuatan mereka itu terhadap dua negara berjiran yang menganggap diri serumpun dan adik-beradik.
Media kita dan rakyat kita setakat ini bersikap waras dan tidak mengikut rentak tari penunjuk perasaan di Jakarta dan beberapa kota lain. Penunjuk perasaan terbabit kadangkala boleh bersikap liar, agresif dan emosional dan mengeluarkan kata-kata kesat, biadab dan melampau. Mereka ini merupakan penunjuk perasaan kelas rendah, miskin, kurang berpelajaran dan sanggup menyumpah seranah, memijak-mijak bendera kita dengan bayaran serendah RM10 dan nasi bungkus dengan tempe. Pendek kata, mereka ialah penunjuk perasaan upahan yang sanggup bertindak ekstrem. Sebahagian ahli Bendera dikatakan mereka yang pernah diusir dari Malaysia kerana masuk secara haram atau kecewa dengan segelintir majikan Malaysia yang tidak melayan mereka dengan baik seperti tidak membayar gaji.
Hubungan Malaysia-Indonesia tidak harus dibenarkan untuk dirosakkan oleh segelintir manusia yang tidak berakal sihat. Nasib baik, SBY dan Perdana Menteri Datuk Najib Razak mempunyai hubungan yang baik. Mereka faham bahawa tindakan penunjuk perasan itu bukan mencerminkan sikap atau pendirian kerajaan. Banyak kerugian jika hubungan dua negara itu terus-terusan berkonflik dan tegang, termasuk dari segi ekonomi, pelancongan, dan pelaburan. Dan ingat, terdapat sekitar 1.5 juta pekerja Indonesia di Malaysia.
Selagi ada bulan dan bintang
Namun percayalah, selagi ada bintang dan bulan dan selagi terdapat pekerja Indonesia di Malaysia dan pelabur Malaysia di Indonesia, serta kita masih berkongsi sempadan yang sama di laut dan darat, selagi itu kita akan terus berkonflik. Bak kata P.Ramlee sedangkan lidah lagi tergigit. Soalnya, kita tentu tidak mahu hanya kerana konflik itu, rakyat kedua-dua negara menderita dan kerugian. Hakikatnya, yang melakukan tunjuk perasan itu ialah segelintir rakyat Indonesia. Rakyat Indonesia perlu insaf bahawa rakyat Malaysia tidaklah sekejam dan seburuk yang mereka fikirkan atau persepsikan. Di mana-mana pun akan tetap ada manusia yang tidak baik, termasuk mereka yang mendera pembantu rumah. Banyak juga orang Indonesia yang terbabit dalam kes jenayah, membawa dadah, melakukan pembunuhan dan berkelahi. Mereka lupa peribahasa di mana bmi dipijak, di situlah langit di junjung. Tetapi, apabila tindakan dikenakan sesuai dengan undang-undang negara ini, rakyat Indonesia marah. Di Jakarta pun sering dilaporkan bagaimana orang kaya mendera dan menyeksa pembantu rumah, kebanyakannya orang Jawa.
Sebagai orang yang banyak kenalan di Jakarta dan Indonesia, tanggapan saya, rakyat Indonesia sebenarnya begitu berbudi bahasa dan sopan, sama seperti di Malaysia, terdapat ramai rakyatnya yang sopan dan berbudi bahasa. Jika hendak belajar bagaimana melayan tetamu, termasuk di restoran dan kompleks beli-belah, pergilah ke Indonesia. Jadi, jangan hanya kerana nila setitik nila rosak susu sebelanga. Kita perlu berdamai, bertindak bijak, rasional, tidak berprasangka buruk; sebaliknya Indonesia dan Malaysia perlu sama-sama bertekad menjadi jiran yang baik.