Friday, May 8, 2009

ANTARA BLOG & FACEBOOK, ANTARA ZAMBRY & NIZAR

Kebelakangan ini saya banyak berinteraksi di Facebook. Di sana saya berdiskusi dengan teman-teman mengenai pelbagai isu.

Sekiranya anda belum menjadi kawanan saya di Facebook, dijemput berbuat demikian. Sekadar ingatan, saya hanya menerima kawanan yang berwajah dan mempunyai profil.

Disebabkan ada wajah dan profil itulah agaknya, maka diskusi di Facebook lebih beradab dan konstruktif. Tidak ada yang berselindung di sebalik laptop atau desktop.

Untuk sekian lama, saya membenarkan komen secara anonymous di blog ini. Saya fikir sudah sampai masanya untuk saya mengenakan saringan yang lebih agar hanya komen yang bermanfaat saja disiarkan.

Berdasarkan maklumbalas yang diterima, saya yakin pembaca blog ini tidak berminat membaca maki-hamun, sindiran, "over generalization" dan tuduhan melampau secara rambang. Saya fikir mereka juga tidak berminat dengan komentar yang bersifat propaganda dan tidak boleh menerima pandangan orang lain - "Aku seorang sajalah yang betul."

Saya merasakan sebahagian besar dari sekitar 3,000 pembaca blog ini ingin melihat hujah dan balasan hujah yang matang. Bukan sekadar hujah lawan hujah; lebih dari itu hujah itu dilakukan dalam suasana persahabatan dan berlapang dada.

Bagaimanapun, ada kalanya disebabkan kegersangan hujah, maka ada yang memilih untuk menyerang saya. Kita tidak perlu setuju dalam semua perkara. Anda boleh menyokong Dato Seri Dr Zambry Abd Kadir dan saya memihak kepada Dato Seri Mohamad Nizar Jamaluddin; atau sebaliknya. Itu bukan masalah. Masalahnya ialah apabila kita mempertahankan hujah secara tidak beradab.

Untuk sekian lama, saya membenarkan ini berlaku atas nama keterbukaan. Fikir saya, "Tak mengapalah. Berikan mereka peluang. Rakyat Malaysia sedang belajar menggunakan media baru." Bagaimana setelah berbincang dengan beberapa orang "senior bloggers", saya memutuskan akan hanya menyiarkan komen yang bersifat kritikal dan membina. Biarlah hanya ada dua atau tiga komen, asalkan ia bermanfaat kepada pembaca lain. Sekiranya ada sesiapa yang ada masalah untuk menulis dan berhujah dengan baik, belajar-belajarlah gaya penulisan yang berhemah.

Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang blogger yang hebat. Dalam tempoh setahun, blognya menerima hampir 20 juta page hits. Hebat! Bagaimanapun, orang membaca blog Dr Mahathir untuk mendengar pandangannya. Seperti kebanyakan orang lain, saya juga tidak membaca komen di blog Dr Mahathir kerana komen-komen tersebut tidak bermutu; bukan semua, tetapi sebahagian besarnya begitu. Sesetengahnya tidak ada nilai langsung. Ada komen yang disiarkan, "Yahoo, saya orang pertama meninggalkan komen di blog Tun!"

Isk, isk .. Kesian kepada orang itu. Dia amat memerlukan perhatian. Tolonglah berikan perhatian kepadanya.

Ada orang bertanya bilakah saya akan menulis mengenai isu DUN Perak. Memang ia satu isu yang menarik untuk diulas. Bagaimanapun, ulasan itu akan bermanfaat sekiranya ia dihujah berdasarkan fakta dan bukannya emosi.

Ada yang bertanya, siapakah Menteri Besar Perak yang sah? Sekali lagi, jawapannya akan ditemui sekiranya kita menghormati hak setiap orang dalam proses demokrasi - hak rakyat, hak Ahli Dewan Undangan Negeri, hak Sultan Perak dan hak Mahkamah. Isnin ini Mahkamah akan membuat keputusan dan saya berharap Dr Zamby Abd Kadir dan Mohamad Nizar serta penyokong-penyokoong mereka hendaklah menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Usah sokong Mahkamah hanya apabila ia membuat keputusan yang menyebelahi kita sahaja; mencerca hakim apabila keputusan itu memihak kepada lawan.

Inilah keterbukaan yang harus ada. Saya melihat keterbukaan ini ada dalam Facebook, tetapi gersang di blog. Mungkin dalam Facebook kita berbicara sebagai teman, tetapi di blog kita melayani mereka yang tidak sehaluan sebagai musuh!

No comments: