Sunday, May 3, 2009

DARI LAYAR PERAK KE POLITIK

INDUSTRI filem sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia moden. Semenjak terciptanya filem, manusia telah meletakkan harapan tinggi kepada para pelakon yang mewarnai dunia perfileman sebagai tempat untuk lari seketika dari realiti kehidupan.

Namun bersesuaian dengan perubahan zaman, realiti kehidupan seorang pelakon turut bertukar. Jika dahulu kebanyakan pelakon dianggap sebagai wira berikutan kegagahan dan kecekalan mereka dalam melakonkan watak-watak yang dipaparkan, namun kini akibat dari kecanggihan teknologi serta kehendak masyarakat itu sendiri persepsi ini turut bertukar.

Kini jika kita mengukur kehidupan pelakon-pelakon yang membanjiri Hollywood, keunggulan seseorang pelakon itu banyak ditentukan oleh kejayaan mereka menghayati watak, skrip dan drama yang berkualiti disertai dengan pendedahan kisah peribadi yang disensasikan.

Inilah antara ramuan yang perlu ada bagi seseorang pelakon untuk menempa nama di peringkat tertinggi.

Namun lain kisahnya apabila seseorang pelakon itu terlibat dalam politik. Pastinya watak-watak hebat yang sering dilakonkan mereka sebelum itu bukan lagi ukuran kejayaan mereka dalam politik.

Mengambil contoh Gabenor California, Arnold Schwarzenegger, pastinya kita akan teringat tentang wataknya sebagai robot i masa depan dalam filem Terminator yang sering bertindak ganas dan kelihatan gagah mempertahankan seorang remaja yang akan menjadi pemimpin manusia pada masa depan.

Itu di dalam filem, tetapi hakikat sebenarnya beliau merupakan seorang suami dan bapa yang penyayang. Sedikit sebanyak kejayaan beliau sebagai pelakon terkenal mengangkat nama Schwarzenegger untuk dipilih Gabenor oleh penduduk California.

Realiti di luar filemNamun itu di Hollywood, lain pula ceritanya di India yang berhadapan dengan pilihan raya umum bermula pada 16 April lepas membabitkan lima fasa. Ia dijangka berakhir pada 13 Mei ini.

Kisah seorang pelakon terkenal yang akhirnya menjinakkan diri dalam politik seolah-olah sudah menjadi lumrah kehidupan di India.

Apatah lagi dengan majoriti penduduk India yang dikuasai oleh golongan miskin dan pertengahan, masih lagi terdapat sentimen yang kuat bahawa seseorang pelakon itu mampu memainkan peranan penting dalam kehidupan seperti mana watak yang mereka lakonkan di dalam filem.

Menjadi seorang pelakon terkenal di India telah mengakibatkan mereka ini tidak boleh menolak dari dijadikan ikon utama dalam kehidupan masyarakat.

Hampir kesemua sifat dan keterampilan pelakon itu akan menjadi ikutan masyarakat tidak kiralah dari cara berjalan, menghisap rokok, menari dan sebagainya.

Malah ada antara mereka yang bersikap keterlaluan dengan mendewa-dewakan pelakon itu sehingga taksub dan sanggup melakukan apa saja demi pelakon kesayangan mereka.

Namun untuk menyalahkan mereka ini kerana bersikap sedemikian adalah tidak adil kerana hakikat pencarian hidup mereka sangat bergantung kepada idola mereka ini.

Hakikat kehidupan yang sangat tidak adil bagi mereka terutama bagi mereka yang berasal dari kasta rendah telah menuntut mereka untuk bergantung kepada filem sebagai medium untuk melarikan diri dari realiti hidup.

Oleh kerana kehidupan yang serba serbi kekurangan dan kedaifan, adalah tidak menghairankan kenapa filem dan pelakon pujaan mereka ini menjadi platform untuk melupakan sementara kehidupan sukar yang dilalui.

Apatah lagi watak yang sering dimainkan oleh pelakon pujaan mereka ialah sebagai penyelamat golongan miskin, penentang keras rasuah dan salah guna kuasa dengan diiringi tarian dan nyanyian yang mengasyikkan. Pastinya adegan sebegini dapat merehatkan dan menenangkan diri mereka dari hakikat kehidupan.

Jika mengikut senarai lebih 20 orang pelakon terkenal India yang bertukar kerjaya mereka sebagai ahli politik. Namun sebenarnya jumlah pelakon yang menjadi ahli politik di India adalah lebih kurang sama dengan di Amerika Syarikat (AS). Sebuah lagi negara yang banyak melahirkan pelakon kemudian menjadi ahli politik ialah Filipina yang mana pada kemuncaknya Joseph Estrada pernah menjadi Presiden yang ke 13.

Namun keadaan sebenar politik di dua negara ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan AS . Ini memandangkan negara tersebut merupakan negara kuasa besar dunia dan pengalaman serta kredibiliti seorang pelakon itu bukanlah ukuran melayakkan mereka menjadi pemimpin yang baik.

Populariti sebagai pelakon hanya membantu mereka untuk menarik sokongan namun aksi dan peranan yang sangat heroic bukan penentu mereka akan menjadi pemimpin yang disegani dan diterima rakyat.

Ini mungkin kerana berlandaskan mentaliti dan pemikiran penduduk AS yang lebih kehadapan berbanding negara lain seperti India. Pastinya pelakon yang paling berjaya di dalam politik ialah Ronald Reagan yang berjaya menjadi Presiden ke 40 negara kuasa besar itu dari tahun 1981 hingga 1989.

Selain itu beberapa pelakon lain turut mencuba nasib untuk berkecimpung dalam politik antaranya Clint Eastwood, yang pernah menjadi Datuk Bandar Carmel-By-The -Sea di California dan personaliti televisyen, Jerry Springer yang pernah menjadi Datuk Bandar Cincinnati.

l Legenda MGR di India

Contoh terbaik di India apabila seorang pelakon terkenal berjaya menjadi pemimpin yang disegani ialah Maruthur Gopala Ramachandran atau lebih dikenali sebagai MGR. Beliau menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu dari 1977 hingga kematiannya pada 1987.

Beliau yang memulakan karier pelakon pada 1935, dengan filem pertamanya Sati Leelavati. MGR mendominasi arena filem Tamil sekitar tahun 50-an dan 60-an.

Beliau pernah menyertai Parti Kongres dan Parti Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) sebelum disingkirkan pada 1972. Beliau kemudiannya menubuhkan parti Anna Dravida Munnetra Kazhagam (ADMK) dan kemudiannya memenangi pilihan raya pada tahun 1977.

Antara nama besar lain yang mewarnai dunia politik India ialah pasangan suami isteri Amitabh dan Jaya Bachchan. Sesungguhnya Amitabh merupakan nama besar dalam dunia filem India dan beliau pernah menjadi ahli Parlimen wilayah Allahabad dan menang dengan undi tertinggi dalam sejarah pilihan raya.

Namun karier politik beliau tidak lama dan terpaksa meletakkan jawatan selepas tiga tahun kerana didakwa terlibat dalam skandal pemberian projek kepada adiknya namun kemudian didapati tidak bersalah oleh mahkamah. Isterinya pula menjadi ahli Parlimen bagi wilayah Rajya mewakili parti Samajwadi

Contoh lain ialah bekas bintang filem yang menjadi calon dalam pilihan raya India yang sedang berlangsung sekarang, Chiranjeevi, aura beliau sahaja telah menarik ratusan ribu orang untuk mendengar ucapannya setiap kali beliau mengadakan rapat umum.

Seperti watak wira yang dimainkannya dalam filem sejak puluhan tahun lalu, Chiranjeevi berjanji untuk berjuang membela nasib golongan miskin dan tertindas.

Sama ada orang ramai membanjiri rapat umumnya kerana status beliau sebagai selebriti atau kerana pendirian politiknya, penampilan sulung Chiranjeevi di arena politik cukup luar biasa.

Chiranjeevi yang berasal daripada kasta rendah iaitu kasta Kapu memaparkan partinya sebagai parti pemberontak yang akan meruntuhkan struktur kuasa yang dikuasai oleh parti-parti yang sama dan kasta berpengaruh sejak berdekad-dekad lalu.

Beliau bercita-cita untuk menjadi pegawai tertinggi di Andhra Pradesh, sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh seorang yang berkasta Kapu.

Ini hanya segelintir kisah dari senarai panjang pelakon India yang bertukar kerjaya sebagai ahli politik yang ingin membela rakyat. Antara nama besar lain yang pernah terlibat dalam politik ialah Dharmendra, Govinda, Shabana Azmi, Vinod Khanna, Sunjay Dutt dan beberapa lagi.

Namun sebenarnya pelakon terkenal India banyak memainkan peranan dalam setiap kali pilihan raya walaupun mereka tidak menjadi calon.

Kebanyakan mereka tidak segan silu menyatakan parti pilihan mereka dan ada yang bertindak sebagai jurucakap kempen parti.

Keistimewaan mereka ini berkait rapat dengan populariti dan kredibiliti mereka sebagai pelakon sekali gus menarik perhatian pengundi untuk mengundi parti yang disokong mereka.

Bagaimanapun perkara sebegini merupakan perkara biasa dan banyak negara di dunia menggunakan taktik ini untuk meraih sokongan dan pastinya contoh paling jelas ialah AS.

Adalah tidak salah untuk menggunakan pengaruh pelakon untuk berkempen jika kita berlandaskan kepada sistem demokrasi.

Tetapi jika kita memilih seseorang calon itu hanya berlandaskan kepada populariti dan lakonan semata-mata dan bukan atas dasar kebolehan dan kredibiliti, pastinya ini akan dilihat penyumbang kepada kemusnahan demokrasi dan negara itu sendiri.

Tidak salah jika kita mengambil contoh apa yang berlaku di Filipina apabila mantan Presiden Estrada dipilih. Dengan pelbagai skandal, rasuah dan ketidakupayaan untuk memimpin, akhirnya negara itu terjerumus dalam konflik politik terburuk.

Pastinya kisah yang berlaku kepada beliau ini mampu memberi pengajaran bahawa bukan semua "hero wayang" mampu menjadi penyelamat dalam realiti sebenar walaupun dari segi lakonan ia meninggalkan kesan yang sangat mendalam dan tragis di hati penonton.

No comments: