Tuesday, April 14, 2009

Faktor Kejatuhan dan kesan daripada kejatuhan Turki Uthmaniyyah kepada Dunia Islam

1.0 PENGENALAN
Empayar Turki Uthamaniyyah merupakan salah satu empayar yang terbesar dunia suatu ketika dahulu. Wilayah Uthamniyyah ini dikenali sebagai Beljik dalam Gagasan Turki Seljuk pada abad ke-13. Uthman 1 telah mengisytiharkan kemerdekaan wilayah Uthamniyyah dan seterusnya baginda mengasaskan Gagasan Turki Uthmaniyyah. Empayar Turki Uthmaniyyah ini berakhir pada abad ke-20 iaitu pada tahun 1924. Empayar Turki Uthmaniyyah ini mencapai zaman kegemilangannya semasa zaman pemerintahan Sultan Sulaiman al- Qanuni atau lebih dikenali sebagai Sulaiman “ Yang Agung ” kerana kehebatan dan kemasyurannya. Namun selepas kemangkatan baginda Turki Uthamaniyyah mengalami kemerosotan.
Kemerosotan empayar Turki Uthmaniyyah ini disebabkan oleh pelbagai faktor dan kemerosotan empayar Turki Uthmaniyyah ini membawa kesan kepada negara-negara Islam. Faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah ini disebabkan oleh masalah dalaman dan faktor luaran Turki Uthmaniyyah itu sendiri. Antaranya kelemahan pemerintah, kekurangan pengamalan nilai Islam di dalam diri sultan, kemerosotan ekonomi, kelemahan dan pemberontakan tentera serta transformasi dan kebangkitan nasionalisme. Faktor luaran pula ialah disebabkan pengaruh luar iaitu Peranchis, Britain dan Russia. Kesannya pula kepada negara-negara Islam ialah imprealisme barat semakin berkembang, institusi khalifah telah dimansuhkan dan wilayah-wilayah Turki Uthmaniyyah membebaskan diri daripada kuasa kerajaan Uthmaniyyah.


2.0 Faktor-Faktor Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.
2.1 Faktor Kelemahan Pemerintah.
Di dalam sesebuah negara, kebiasaan kejatuhan sesebuah kerajaan disebabkan oleh pemerintah yang lemah. Pemerintah yang lemah ini merujuk kepada kelemahan peribadi pemerintah itu dan kelalaian sultan di dalam pentadbiran baginda. Faktor ini merupakan faktor terpenting sehingga menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Sultan Salim II merupakan garis pemisah antara puncak kejayaan Turki Uthmaniyyah dengan permulaan kemunduran kerajaan itu. Berakhirnya kekuasaannya pada tahun 1574 M merupakan berakhirnya masa keagungan kerajaan Uthamniyyah. Selepas kematiannya kekuasaan sultan berlanjutan buat beberapa ketika sahaja dan mereka terpaksa menyedari keadaan tersebut sukar untuk diselesaikan. Kelemahan Kerajaan Turki Uthamaniyyah ini agak perlahan pada abad ketujuh belas, tetapi ia menjadi agak buruk pada abad kelapan belas.
Kelemahan peribadi pemerintah merupakan sebab kepada kejatuhan empayar Uthmaniyyah ini. Keperibadian sultan yang sangat lemah dan mudah dipengaruhi orang luar dan dalam menyebabkan sultan itu menjadi tidak berkaliber untuk memerintah empayar dan kerajaan tersebut. Sultan Salim II dikatakan mempunyai keperibadian yang lemah dan dianggap merupakan sultan yang membawa kepada kemerosotan empayar Turki Uthmaniyyah. Sultan Murad III pula agak lemah keperibadian. Walaupun Murad III ini dikatakan telah berjaya mengembalikan kekuatan tentera laut kerajaan Turki Uthmaniyyah selepas kekalahan dalam Perang Lepanto, namun begitu baginda telah dipengaruhi oleh dua orang wanita iaitu ibunya Sultana Nur Banu dan isterinya, Sofiya seorang wanita Itali. Kedua-dua wanita ini campur tangan di dalam pemerintahannya dan menjadikannya tidak tenteram serta bebas memerintah. Jelas dilihat disini bahawa Sultan Murad II amat takut kepada kedua-dua wanita ini dan ini telah menunjukkan kelemahan peribadi Sultan dan tidak berkaliber untuk memerintah sesebuah empayar dan sekaligus membawa kepada bibit-bibit kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah.
Kemudiannya ialah kelalaian pemerintah itu sendiri. Ketika kerajaan itu menuju ke arah keruntuhannya sultan-sultannya memerintah secara autokrasi. Tidak ada kuasa yang dapat menahan mereka dari menakluk dan mengembangkan negeri serta pengaruh mereka. Oleh sebab itu juga mereka ditentang oleh negeri-negeri yang mereka takluk. Sultan-sultan ini bukannya daripada bangsa Turki sejati tetapi sebaliknya daripada permaisuri-permaisuri Kristian yang ditawan. Oleh sebab itu mereka tidak berfahaman Islam sejati seperti nenek moyang mereka dahulu. Atas kurangnya fahaman Islam sejati di dalam diri mereka telah menyebabkan mereka lalai dibuai dengan kebendaan. Sultan-sultan ini mewah dengan kekayaan negara dan meninggalkan tugas mereka sebagai pemerintah negara. Kebanyakkan sultan Turki Uthmaniyyah lebih berminat untuk berhibur dan menghabiskan masa untuk berfoya-foya. Tugas untuk memerintah ini seringkali diserah kepada bonda mereka atau wazir-wazir. Atas sebab inilah Sultan-sultan ini mudah digulingkan oleh wazir-wazir ini kerana sultan tersebut lemah dan langsung tidak beribawa.

2.2 Kekurangan Pengamalan Nilai Islam Dalam Diri Sultan.
Sultan-sultan Uthmaniyyah yang akhir sudah tergelincir jauh daripada landasan perjuangan nenek moyang mereka. Kebanyakkan sultan ini lupa bagaimana dahulu kerajaan Uthmaniyyah dibina atas dasar iman dan taqwa sultan-sultannya. Sultan-sultan pada zaman keagungan empayar Turki Uthmaniyyah terkenal sebagai Ruhbanun Fillail wa fursanun binnahar atau dikenali sebagai “ beribadat kepada Allah umpama rahib di malam hari dan siangnya berjuang laksana singa”. Namun begitu sifat ini tidak ada lagi pada sultan-sultan Uthmaniyyah yang akhir. Pengasas kerajaan Uthmanyyah iaitu Sultan Uthman I terkenal sebagai seorang yang warak, zuhud dan berjiwa sufi. Begitu juga dengan Sultan Murad yang sering berulang-alik ke istana. Sultan Muhammad al-Fateh pula begitu tinggi akhlaknya.
Apabila sultan tidak bertaqwa, Allah S.W.T. berlepas tangan daripada mereka. Pada masa inilah mereka menjadi lemah hingga di akhirnya nanti mudah dijatuhkan Mustafa Kamal Ataturk. Sultan-sultan akhir ini leka dengan kemewahan dunia. Mereka asyik membina istana yang indah-indah sehingga melupakan nasib rakyat jelata. Ada antara sultan ini ketagihan arak, gila wanita dan barang-barang kemas. Kebanyakkan sultan-sultan ini lebih suka menghabiskan masa berfoya-foya dengan wanita daripada memikirkan masalah rakyat. Mereka ini tidak peka dengan perubahan-perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat.
Hidup sultan-sultan ini penuh dengan kemewahan dan pembaziran yang terlindung daripada pengetahuan rakyat oleh tembok-tembok istana. Semangat jihad, jiwa sufi dan ketaqwaan kepada Allah seperti yang ada pada nenek moyang mereka telah luntur. Di sini jelaslah bagaimana taqwa bukanlah warisan sebagaimana takhta. Kebajikan dan kesusahan hidup rakyat sudah tidak dipedulikan. Sultan-sultan akhir ini sekadar berbangga dengan gelaran khalifah yang hakikatnya hanya tinggal gelaran sedangkan ciri-ciri khalifah Islam tidak ada lagi pada mereka. Hukum Allah S.W.T. dilanggar secara sembunyi dalam lingkungan istana. Arak-arak, wanita dan budaya mungkar berleluasa di istana-istana. Seorang sultan mempunyai gundik berpuluh-puluh orang ramainya. Malah ada tempat khas digunakan untuk menjaga gundik-gundik ini yang dijaga oleh hamba-hamba lelaki yang telah dikasi. Kekurangan nilai Islam dalam diri sultan-sultan inilah menyebabkan kepada kelemahan mereka dan kemerosotan kerajaan Turki Uthmaniyyah.

2.3 Kemerosotan Ekonomi Kerajaan Uthmaniyyah.
Kemerosotan ekonomi menjadi faktor penyebab kepada kejatuhan dan kemunduran kerajaan Turki Uthmaniyyah. Kemerosotan ekonomi ini disebabkan oleh beberapa faktor. Kos yang tinggi digunakan untuk menampung biayai peperangan yang berpanjangan. Sememangnya kos yang digunakan pada masa perang amat tinggi. Pada masa yang sama kemasukkan dana ke dalam negara semakin berkurangan kerana pelabuhan yang pernah dikuasainya jatuh ke tangan kuasa Eropah terutamanya selepas kekalahan semasa perang. Oleh itu jelas di sini kos perang yang tinggi ditambah tidak ada dana masuk menyebabkan kemerosotan ekonomi dan kewangan kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Selain itu, penemuan jalan perdagangan langsung dari Eropah ke Timur yang merupakan pusat rempah-rempah dan merupakan barang yang menjadi keperluan rakyat Eropah pada masa itu menyebabkan orang Eropah tadi mengalihkan perdagangan ke Timur Asia pula untuk berdagang. Laluan tersebut ialah Tanjung Pengharapan atau dikenali sebagai Cape of Hope telah mengurangkan masa perjalanan dari Eropah ke Timur tanpa melalui Turki. Ini akan menyebabkan ekonomi kerajaan Turki Uthmaniyyah menjadi lemah yang sebelum penemuan Tanjung Pengharapan ini ia menguasai perdagangan daratan dan lautan sekitarnya. Pelabuhan dan bandar perdagangan Islam ditimpa kerugian ekonomi yang parah. Cukai-cukai kastam tidak lagi dapat dikutip dari pelabuhan dan bandar yang berada di dalam naungan Turki Uthmaniyyah kerana pedagang-pedagang ini telah beralih arah. Hal ini memberikan kesan kepada taraf hidup rakyat di kawasan berkenaan. Rakyat terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menanggung nafkah kehidupan keluarga mereka.

2.4 Kelemahan dan Pemberontakan Tentera.
Kerajaan Uthmaniyyah sememangnya terkenal kerana mempunyai angkatan tentera yang kuat dan digeruni. Kerajaan ini mempunyai tentera elit iaitu Janissari. Kerajaan Turki Uthmaniyyah juga selalu berperang di dalam pelbagai siri peperangan. Di sini peranan Janissari yang merupakan tentera elit semangnya tidak dapat dipertikaikan. Kelemahan tentera Turki Uthmaniyyah mula retak pada zaman Sultan Salim III. Pada masa tersebut keadaan negara ialah buruk sekali. Semangat tentera Turki pada masa tersebut semakin putus asa kerana siri peperangan yang tidak pernah berhenti. Kebanyakan anggota tentera pada masa tersebut bertukar profesion dan meninggalkan ketenteraan yang merupakan profeesion utama mereka. Keanggotaan ketenteraan hanyalah dipertahankan semata-mata untuk menikmati hak istimewa tentera sedangkan jika ada panggilan ketenteraan kebiasaannya mereka mengirimkan pengganti yang kurang cekap.
Atas sebab mendapat hak istimewa ketenteraan dan kesusuhan golongan petani pada masa tersebut, kebanyakkan golongan ini berusaha masuk ke dalam tentera elit Janissari dan hingga pertengahan abad ke-17, pasukan ini berjumlah 200000 orang. Jumlah sebesar ini menyebabkan bebanan ekonomi kepada kerajaan semakin berat. Golongan Janissari ini juga sering diseretkan untuk kepentingan politik bagi mengulingkan sesuatu pemerintah.
Kelemahan tentera dapat dilihat pada 1683 apabila tidak dapat merebut kota Vienna buat kali kedua. Kedua ialah pemberontakan pada abad ke-18 di wilayah-wilayah di mana tentera Turki Uthmaniyyah tidak dapat menghalang pemberontakan tersebut. Semasa pemerintahan Salim II, baginda telah mendekatkan diri dengan tentera elit Janissari ini. Dalam menyakinkan tentera Janissari ini, baginda telah memberikan mereka kemudahan dan keistimewaan. Hal ini sebenarnya melekakan tentera Janissari ini daripada landasan perjuangan mereka kerana leka dengan kemewahan dan keistimewaan yang diberikan Sultan. Hal inilah membawa kepada kejatuhan Trki Uthmaniyyah.
Semasa zaman Sultan Mahmud II tekanan dari barat sangat kuat kerana beberapa kuasa seperti Peranchis dan Russia cuba untuk mengalahkan Turki Uthmaniyyah. Pada 1830, Peranchis telah berjaya merampas Algeria dari Turki. Kekalahan dalam peperangan dengan Peranchis inilah yang menyebabkan Sultan Mahmud II melakukan perubahan di dalam tentera. Menurut baginda, keberanian bukan lagi faktor kemenangan tetapi susunan tentera yang teratur dan disiplin. Cita-cita baginda telah dihalang oleh tentera Janissari tetapi baginda secara berani membunuh beramai-ramai anggota tentera ini. Sejak dari itu, baginda sendiri menjadi Panglima Tertinggi dalam tentera. Sultan Mahmud II juga menukar pakaian lama kepada pakaian seragam tentera.

2.5 Tranformasi dan Kebangkitan Nasionalisme.
Proses kemerosotan dan kejatuhan empayar Uthmaniyyah dibentuk oleh pengstukturan semula dan transformasi dalam setiap aspek empayar Uthmaniyyah. Walau bagaimanapun, usaha yang berterusan tidak membantu dalam menghalang proses kemerosotan sistem Uthmaniyyah. Satu perubahan yang signifikasi hanyalah apabila empayar Uthmaniyyah mula menjadi sekutu kuasa-kuasa Eropah. Dalam semua idea empayar Uthmaniyyah dapati daripada kuasa Barat seperti nasionalisme etnik. Kebangkitan nasionalisme etnik mengancam kestabilan Uthmaniyyah kerana rakyatnya yang berbilang bangsa. Banyak peristiwa pemberontakan atas nama nasionalisme muncul dan mengugat empayar Uthmaniyyah.
Kebangkitan nasionalisme memaksa empayar Uthmaniyyah untuk bertindak. Sepanjang enam abad yang lalu banyak yang telah berubah kecuali sistem kerajaan. Ada juga sekumpulan orang dari Uthmaniyyah yang mempunyai pendidikan barat berpendapat bahawa konsep raja berpelembagaan dapat mengurangkan tekanan di dalam negara. İttihat ve Terakki Cemiyeti atau Perhimpunan Perpaduan dan Kemajuan mempunyai hubungan yang istimewa dalam kumpulan ini. Menurut buku yang dikeluarkan oleh İttihat ve Terakki Cemiyeti, kejayaan dapat dicapai sekiranya perubahan dilakukan terhadap institusi sosial dan politik Uthmaniyyah. Menerusi sebuah penggulingan ketenteraan, İttihat ve Terakki Cemiyeti memaksa Sultan Abdul Aziz untuk menyerahkan takhta kepada Murad V. Bagaimanapun, Murad V mempunyai masalah mental. Sultan Abdul Hamid II terpaksa dipanggil semula dengan syarat baginda akan mengubah sistem politiknya. Sultan Abdul Hamid II mengubah struktur pentadbiran yang berusia ratusan tahun ini 23 November 1876. Baginda mengubah nama perlembagaan baru ini kepada "Kanun-i Esasi". Perlembagaan ini bertahan sehinggalah bermulanya Perang Crimea.
Pada masa zaman Sultan Abdul Hamid II pula peberontakan di wilayah-wilayah Eropah tidak berhenti-henti. Pada tahun 1877, Rusia telah mengisytiharkan perang kepada Turki. Peperangan ini berjaya ditamatkan melalui Perjanjian San Stefano pada 3 Mac 1878. Perjanjian ini telah memberikan keuntungan yang besar kepada kepada Rusia. Perjanjian ini mendapat bantahan daripada Austria yang pada masa tersebut takut kepada Bulgaria kerana melalui perjanjian ini Bulgaria mendapat keuntungan di Balkan Barat. Pihak Inggeris juga menentang perjanjian ini kerana menganggap ia memberikan Russia jalan darat ke Miditerranean Menjelang penghujung kurun kesembilan belas, keadaan politik empayar Uthmaniyyah menunjukkan keadaan kucar-kacir pada masa akan datang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa reformasi dan perubahan tidak cukup untuk membuat perbezaan dan tidak cukup untuk menghalang kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah.
2.6 Pengaruh Luar.
Satu perubahan yang signifikasi hanyalah apabila empayar Uthmaniyyah mula menjadi sekutu kuasa-kuasa Eropah. Terdapat beberapa siri pakatan dengan beberapa negara Eropah seperti Perancis, Belanda, Britain dan Russia. Salah satu contoh yang nyata ialah semasa Perang Crimea, di mana Perancis, Britain dan Uthmaniyyah berpakat menentang Tsar Russia. Terdapat pada satu masa iaitu antara tahun 1839 dan 1876, reformasi dilaksanakan. Semasa zaman ini tentera moden ditubuhkan. Sistem perbankan juga disusun semula di samping pembinaan kilang-kilang yang moden. Dari struktur ekonomi pula, pihak pentadbir Uthmaniyyah menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman yang dibuat dengan bank-bank di Eropah. Dari segi ketenteraan, ia menghadapi masalah mempertahankan dirinya daripada diduduki kuasa-kuasa asing contohnya Mesir diduduki Perancis pada 1798 dan Cyprus diduduki British pada 1876.
Semenjak tahun 1699 mereka telah banyak menemui kekalahan dan di dalam perjanjian damai Karlowitz, Uthmaniyyah harus mempersetujui penyerahan wilayah-wilayahnya kepada Austria, Venice dan Poland. Walaupun demikian, mereka tetap mempertahankan hak mereka di bahagian tenggara Eropah, termasuk pantai barat dan utara Laut Hitam. Namun pada abad ke-19, kerajaan Uthmaniah kembali kehilangan sebahagian besar dari wilayah taklukkannya yang dimulai dengan kemerdekaan Yunani pada tahun 1829 dan pendudukan Perancis ke atas Algeria pada tahn 1830. Kerajaan Uthmaniyyh menjadi "the sick man of Europe" iaitu Orang Eropah yang sakit dan hanya persaingan mereka inilah yang mencegah terjadinya perpecahan-perpecahan yang dahulunya pernah terjadi. Setelah kekalahannya dalam Perang Dunia I di tahun 1912 hingga 1919, semua wilayah ini masih tetap berada di bawah Kerajaan Uthmaniyyah dengan wilayah Eropahnya adalah kawasan di sekitar Istanbul meluas sampai ke sebelah utara Edirne dan ke barat sampai ke Gallipoli. Bangsa Turki di bawah kekuasaan Mustafa Kamal Ataturk telah menghapuskan nama Kerajaan Uthmanyyah pada 1922 dan diganti dengan Republik Turki. Wilayah-wilayah jajahan di Asia dan Afrika dahulu telah hilang kecuali Anatolia yang masih berada di wilayah Republik Turki ini.
Tiga buah negara Balkan yang baru terbentuk pada penghujung abad kesembilan belas. Keseluruhan wilayah itu termasuk Montenegro mencari kawasan tambahan di dalam wilayah Albania, Macedonia, dan Thrace yang berada di bawah pentadbiran Uthmaniyyah. Dengan dorongan dari Russia, beberapa siri perjanjian ditandatangani: antara Serbia dan Bulgaria (Mac 1912) dan antara Yunani dan Bulgaria (Mei 1912). Perjanjian di antara Serbia dan Bulgaria mendesak kepada perpisahan Macedonia yang mengakibatkan Perang Balkan I. Selepas itu terjadi pula Perang Balkan II.
Dalam usaha terakhir untuk memastikan wilayah-wilayah terbabit kekal dalam kekuasaan Uthmaniyyah, Enver Pasha menyertai kuasa tengah dalam Perang Dunia Pertama. Semasa waktu ini, Landasan Kereta Api Baghdad yang dikuasai Jerman menjadi punca pertikaian antarabangsa dan memainkan peranan dalam punca tercetusnya Perang Dunia Pertama. Empayar Uthmaniyyah mendapat beberapa kejayaan dalam tempoh awal peperangan terbabit. Pihak bersekutu, termasuk unit tentera baru ANZAC dikalahkan di Gallipoli, Iraq dan Balkan serts beberapa kawasan diperolehi. Di Caucasus, tentera Uthmaniyyah tewas dalam beberapa siri pertempuran dan ini membolehkan tentera Russia bergerak dari Trabzon dan Erzurum ke arah Van. Empayar Uthmaniyyah bagaimanapun tewas pada akhir peperangan ini terhadap pihak bersekutu dan mengakibatkan ia kehilangan wilayahnya.
Mustafa Kamal, yang memperoleh reputasi yang baik semasa kempen di Gallipoli dan Palestin dengan rasmi dihantar daripada Istanbul untuk memerintah dan membubarkan tentera Uthmaniyyah di Caucasus. Pada awalnya pihak Uthmaniyyah hanya mengikuti arahan sahaja. Walau bagaimanapun dalam masa tahun kemudian, berlakunya perang kemerdekaan Turki (1918-1923) menentang kuasa asing. Perjuangan mereka ini mengakibatkan penggulingan kuasa Sultan Muhammad VI oleh Perhimpunan Baru Turki. Republik Turki kemudian diasaskan pada 29 Oktober 1923.
3.0 Kesan-Kesan Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah ke Atas Negara-Negara Islam.
3.1 Institusi Khalifah dimansuhkan.
Kesan langsung kepada jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah ialah sistem khalifah dimansuhkan. Pada tahun 1922 Mustafa Kamal Atarturk telah bertindak menghapuskan Kesultanan Uthmaniyyah dengan alasan sultan telah mengkhianati negara. Pada mulanya apabila kerajaan ini meluaskan kuasanya ke kawasan luar Ankara, ia telah menemui beberapa penentangan tetapi Mustafa Kamal telah bersedia menghadapinya serta berjaya mematahkan penentangan ini. Pada 3 Mac 1924 beliau telah membasmi jawatan khalifah. Langkah ini telah membuka jalan kepada program yang lebih radikal dan memulakan pemisahan daripada kepimpinan tradisional.
Permisahan kepimpinan tradisional yang dimaksudkan di sini ialah sistem republik dan ideologi sekularisme yang dibawa daripada barat oleh Mustafa Kamal Atarturk. Melalui sistem republik ini, ia secara tidak langsung akan menghapuskan sistem khalifah kerana ketua negara republik ialah presiden. Malah Mustafa Kamal sendiri telah mengumumkan beliau sendiri sebagai Presiden Republik Turki yang pertama dan ini bermaksud sistem khalifah dilenyapkan terus dari pemerintahan Turki.
Ideologi sekularisme yang dibawa oleh Mustafa Kamal Atarturk merupakan satu ideologi yang mengasingkan atau memisahkan peranan agama dan tuhan daripada pelbagai aspek kehidupan dan penghidupan manusia. Di dalam ideologi sekularisme ini ia secara tidak langsung telah menghapuskan sistem khalifah kerana sistem khalifah ini lebih kepada keagamaan dan sekularisme lebih kepada pengasingan agama dari politik. Kedudukan Islam selaku al-Din turut tercabar dan hal ini merupakan satu era baru yang membawa kepada sekularisme ganas seperti zaman pemerintahan Mustafa Kamal Atarturk ini.
Di dalam melaksanakan ideologi sekularisme ini, Islam telah dibubarkan dan peranan khalifah turut dihapuskan. Islam hanya dianggap sebagai satu urusan peribadi sahaja. Semua aliran terikat telah dihapuskan dan harta mereka dirampas. Kesan daripada tindakan ini, banyak khanagah telah dijadikan muzium dan beberapa buah masjid seperti masjid Aya Sophia. Selain itu kolej madrashah juga turut ditutup dan latihan untuk menjadi ulama yang dulunya disokong kerajaan telah diberhentikan. Malah sistem pemberian wakaf yang dikawal oleh kerajaan tidak lagi berlandaskan sistem Islam dan ia lebih menjurus kepada fahaman sekular. Semua undang-undang Islam iaitu Syariah telah dihapuskan dan digantikan dengan kanun undang-undang Eropah.
Dengan permansuhan sistem khalifah ini, Mustafa Kamal telah membentuk sebuah parti politik iaitu Parti Republik Rakyat. Parti ini telah dijadikan alat untuk membawa perubahan dalam negara. Melalui parti politik ini, Mustafa Kamal cuba untuk mewujudkan suasana demokrasi iaitu membenarkan perbincangan antara para anggota parti secara bebas sebelum mereka bersidang dalam Dewan Kebangsaan Agung. Dengan mewujudkan sistem demokrasi ini maka ia telah menghapuskan sistem khalifah dengan tidak langsung. Di sini dapat kita lihat bagaimana liciknya Mustafa Kamal mengunakan demokrasi untuk menghapuskan sistem khalifah yang merupakan teras kerajaan Uthmaniyyah satu ketika dahulu. Melalui demokrasi ini juga, sistem syura yang menjadi asas kepada kerajaan Uthmaniyyah dahulu turut terhapus dan kuasa mutlak terletak di tangan Presiden Republik Turki.
Selain itu dengan termansuhnya sistem khalifah negara seperti Mesir telah membebaskan diri daripada kerajaan Uthmaniyyah. Malah ada negara yang selama ini bergantung kepada Turki Uthmaniyyah sebagai kuasa yang melindungi mereka merasai kesannya. Kebanyakkan negara ini hilang satu kuasa yang melindungi mereka daripada musuh mereka. Sebagai contohnya Palestine. Apabila kerajaan Uthmaniyyah jatuh, Palestine kehilangan negara besar yang menyokongnya dan kuasa berikat yang berjaya mendapatkan Palestine selepas perang dunia pertama iaitu Britian telah mendirikan sebuah negara Israel yang mengancam dan menindas rakyat Palestine. Sekiranya kerajaan Uthmaniyyah masih ada lagi di Turki, besar kemungkinan Israel tidak akan mendirikan penempatan di Palestine dan menindas rakyat Paletine seperti pada hari ini.
3.2 Wilayah Dalam Kerajaan Turki Uthmaniyyah Membebaskan Diri.
Kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah telah memberi kesan kepada wilayah-wilayahnya. Pada masa inilah wilayah-wilayah di dalam Turki Uthmaniyyah ini mula membebaskan diri daripada cengkaman kerajaan Uthmaniyyah. Antara negara tersebut ialah Mesir, Syam, Hijaz dan banyak lagi. Di dalam mana-mana kerajaan pun apabila lemah, kesempatan inilah yang cuba diambil oleh wilayah-wilayahnya untuk membebaskan diri daripada penjajahan. Selain itu, kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah ini membuka peluang yang besar kepada wilayah-wilayah ini membebaskan diri untuk menjadi sebuah identiti berbeza daripada wilayah Uthmaniyyah. Mesir pada abad ke-18 Masihi merupakan sebahagian daripada empayar Uthmaniyyah. Sejak tahun 1517 Masihi lagi Mesir ditakluk oleh empayar Uthmaniyyah tetapi golongan Mamluk, pemerintah yang berasal daripada hamba abdi itu masih mengekalkan kuasa autonominya. Golongan Mamluk ini sering berebut kuasa dan menyebabkan suasana politik di Mesir tidak stabil. Keadaan ini diburukkan lagi dengan penyelewengan akidah Islam dan rasuah oleh pegawai-pegawai Mesir.
Apabila Peranchis menceroboh Mesir, Sultan Salim III telah menghantar Muhammad Ali Pasya untuk memerangi Peranchis. Selepas berjaya mengalahkan Peranchis, beliau telah berjaya menegakkan kekuasaannya di Mesir dan pada 1805 beliau telah diakui Sultan Salim III sebagai wizurai Mesir. Semasa pemerintahan Sultan Mahmud II, beliau pernah membantu Sultan Mahmud menghalau Yunani yang cuba memberontak. Sebenarnya matlamat Muhammad Ali Pasya membantu Sultan Mahmud adalah untuk kepentingan dirinya. Setelah merasakan kekuatan berada di pihaknya, beliau telah merebut Syria daripada kerajaan Uthmaniyyah dan akhirnya bebas daripada kerajaan Uthmaniyyah. Hal ini kerana pada masa tersebut Sultan Mahud II tidak dapat berbuat apa-apa kerana kekuatan tentera Mesir lebih moden dan masalah pergolakan dalam kerajaan Uthmaniyyah pada masa tersebut.
Selain Mesir, negara-negara Arab lain turut mengambil peluang yang sama untuk membebaskan diri. Sharif Husain Bin Ali, Amir Mekah telah bertindak mengisytiharkan kemerdekaan Hijaz dan ,emyatakan dirinya sebagai Raja Hijaz. Beliau juga bersedia menghadapi tentera Turki yang masih menduduki Hijaz dan terjadilah pemberontakan. Tentera Turki telah dikepung dan banyak tentera turki yang mati di dalam perang ini. Di dalam hal ini sebenarnya Sharif Hussain telah dibantu Britain terutama dari segi kewangan dan tentera. Tentera Arab yang dipimpin oleh putera Sharif Hussain iaitu Amir Faisal telah menewaskan tentera Uthmaniyyah kerana pada masa tersebut Istanbul tidak dapat mengirimkan bantuan tambahan kepada tenteranya yang terperangkap di Arab disebabkan pada masa yang sama mereka sibuk mempertahankan kedudukannya di sekitar Laut Marmara, Laut Hitam dan Semenanjung Anatolia.Dalam keadaan yang genting ini, akhirnya pada tahun 1918 empayar Turki Uthmaniyyah akhirnya kalah dan Arab dapat membebaskan diri.
3.3 Imprealisme Barat Semakin Kuat dan Berkembang.
Kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah bermakna barat tidak mempunyai lagi satu kuasa Islam yang dapat menyekat kemaraan mereka di dalam memperkembangkan pengaruh mereka di dalam dunia Arab dan sekitarnya. Kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah ini merupakan sesuatu yang diinginkan barat kerana untuk menguasai Asia Barat mereka perlu memastikan empayar Turki Uthmaniyyah ini jatuh dan lenyap. Antara negara barat yang inginkan kejatuhan Turki Uthmaniyyah kerana kepentingan mereka ialah Britain, Peranchis, Russia, Itali dan Austria. Hal ini kerana wilayah-wilayah Turki Uthmaniyyah sebenarnya kaya dengan hasil bumi dan peluang ekonomi yang sangat besar. Di sini negara-negara luar ini telah memainkan peranan penting dalam menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah dengan membantu negara-negara yang hendak membebaskan diri daripada Turki Uthmaniyyah atau berperang dengan Turki Uthmaniyyah dan menekan negara tersebut.
Kekuasaan negara-negara barat ini ke atas negara-negara Islam selepas kejatuhan Turki Uthmaniyyah di Asia Barat amat ketara sekali. Pihak barat ini menjalankan dasar imperialisme mereka dengan pelbagai cara. Penguasaan secara langsung dilakukan oleh Peranchis di Algeria, Itali di Libya dan Russia sejak zaman Czar lagi ke atas wilayah-wilayah di Asia Tengah. Di sini kuasa-kuasa barat ini akan meletakkan seluruh kawasan itu di bawah pemerintahan mereka. Bagi pihak British mereka lebih menyukai penguasaan secara tidak langsung di mana British hanya menghantar pegawai-pegawai ke kawasan berkenan sahaja. Sistem ini dilaksanakan oleh British di Mesir.
Selain itu, kuasa-kuasa barat ini mengunakan sistem mandat. Hal ini merupakan salah satu kesinambungan imperealisme barat ke atas negara-negara Islam terutama selepas kejatuhan Turki Uthmaniyyah. Melalui cara mandat ini, negara barat menubuhkan Liga Negara-Negara atau sekarang dikenali sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Melalui Liga Negara-Negara ini, ia telah memberi kuasa kepada Britain untuk mengendalikan Palestin, Jordan dan Iraq. Peranchis dibenarkan untuk menguasai Syria dan Lubnan. Di sini jelas dilihat kuasa imperealisme barat jelas bertambah kuat dan ia langsung tidak dapat dihalang kerana pada masa yang sama kerajaan Turki Uthmaniyyah yang menjadi pelindung kerajaan Islam yang lain telah pun runtuh. Barat telah mengunakan sistem divide et impera dengan begitu licin sekali untuk menjamin supaya umat Islam terus menjadi lemah dan tertakluk kepada penjajah barat.
4.0 Kesimpulan
Secara tuntasnya dapat dirumuskan bahawa kerajaan Turki Uthmaniyyah merupakan salah satu kuasa yang terkuat satu ketika dahulu. Empayar Uthmaniyyah ini pernah melalui zaman kegemilangannya di mana ia muncul satu kuasa yang berpengaruh terutama di dalam dunia Islam. Seperti juga empayar-empayar lain sebelumnya, ia tidak terkecuali menempuhi zaman kemerosotan dan akhirnya mengalami kejatuhan. Kejatuhan ini didorong oleh fakto-faktor seperti kelemahan pemerintah, kekurangan pengamalan nilai Islam dalam diri sultan, kemerosotan ekonomi, transformasi dan kebangkitan nasionalisme serta pengaruh luar negara.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah bukan sahaja merupakan kejatuhan kepada negara tersebut tetapi ia membawa impak kepada dunia Islam terutama negara-negara yang berdekatan dengannya. Malah kejatuhan Turki Uthmaniyyah ini menandakan berakhirnya satu kuasa Islam yang digeruni barat dan sangat kuat. Selepas kejatuhan Turki Uthmaniyyah, penguasaan barat di Timur Tengah semakin kuat kerana tidak ada lagi halangan dari kuasa Turki Uthmaniyyah. Di sini kita seharusnya belajar daripada kesilapan akibat kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan menjadikannya satu pengajaran di dalam kita memacu pembangunan dan kegemilangan Malaysia khasnya.
5.0 Bibliografi
Adiah Husaini, Wajah Peradaban Barat: Dari Hegemoni Kristen ke Dominasi Sekular-Liberal ( Penghantar: Prof Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud), Jakarta: Gema Insani, 2005.

AD Alderson, The Structure of The Ottoman Dynasty, Oxford: The Clanderon Press, 1956.

Akram Fouad Khater, The Modern Middle East History, North California: Houghton Mifflin Co., 2004.

Anne Wallace Sharp, The Pallestinians, Farminghton Hills: Thomson Gale, 2005

Dr. Eeman Mohamad Abbas, Sultan Abdul Hamid & Kejatuhan Khalifah Islamiah: Peranan Golongan Nasionalis dan Minoriti, Kuala Lumpur: Pustaka Alam Sdn. Bhd., 2002.

Dr. Hamka, Sejarah Umat Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.

Dr. Syafiq A. Mughni, Sejarah Kebudayaan Islam di Kawasan Turki, Surabaya: JAIN Sunan Ampel, 1996.

Fadhlullah Jamil, Islam di Asia Barat Moden: Sejarah Penjajahan dan Pergolakan, Batu Caves: Thinker’s Librarys Sdn. Bhd.,2000.

Fadhlullah Jamil, Islam di Asia Barat Moden: Penjajahan dan Pergolakan, Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd., 2007.

Jacques Benoist Mechin, The End of The Ottoman Empire, Druckerei: Swan Production, 1989.

Lois A.Aroin dan Richard P.Mitchell, Timur Tengah dan Afrika Utara Moden ( Terjemahan: Mohammad Redzuan Othman), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.

Mariani Adnan dan J.U Braws, Ensiklopedia Tematis Dunia Islam Khalifah 2, Jakarta: PT Ichiar Baru Van Hoe, 2002.

Norman Itzkowitz, The Ottoman Empire: The Rise and Fall of Turkish Domination ( The World of Islam), London: Thames and Hudson Ltd., 1992.

Peter Mansfield, The Middle East: A Political and Economic Survey, London: Oxford University Press, 1973,

V.J. Parry, A History of The Ottoman Empire, Cambridge: Cambridge University Press, 1976

Wayne S. Vucinich, The Ottaman Empire: It’s Record and Legacy, New Jersey: D. Van Nostrand and Co.Inc., 1965.

W.N Weech, Sejarah Dunia ( Disunting: Abdul Karim Abdullah, Terjamahan: Hamidah Shamsuddin), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976.

1 comment:

Anonymous said...

Salam, Mashaa Allah, good work brother !, mohon izin share boleh tak ?